Tuesday, May 19, 2015

BERITA

BERITA.


Seni visual Malaysia dipromosi ke peringkat global untuk jana pelaburan

Seni visual Malaysia dipromosi ke peringkat global untuk jana pelaburan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mempromosi seni visual ke peringkat global bagi menjadikan cabang seni itu sebagai industri yang menjana pelaburan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata bidang seni visual begitu signifikan dalam membina jati diri dan negara bangsa selain menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

"Konsep dan peranan seni telah berubah daripada seni untuk seni kepada seni untuk perpaduan dan melebar kepada seni sebagai penyumbang pembangunan ekonomi," katanya ketika berucap merasmikan pameran Pancawarna Karya Pilihan: 1990-2012 Sharifah Fatimah Syed Zubir di Balai Seni Visual Negara di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata visi kementerian bukan sahaja untuk meningkatkan imej negara sebagai sebuah destinasi pelancongan yang unggul di rantau ini tetapi juga menjadikan seni sebagai penyumbang utama ekonomi negara.
"Seni turut berperanan ke arah mewujudkan bangsa Malaysia yang berbudaya luhur melalui pelaksanaan misi untuk menyemarak seni budaya dan mengekalkan warisan negara," katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu merealisasikan impian untuk menjadikan seni visual negara sebagai 'wajah kita', 'bangsa kita' dan 'pemikiran kita' yang dizahirkan melalui karya-karya seni yang menyatupadukan rakyat.

Mohamed Nazri berkata Balai Seni Visual Negara dapat memainkan peranan yang lebih dominan dan kompetitif untuk mencapai matlamat itu.

Dalam ucapannya beliau turut menyeru golongan seniman agar terus berkarya dengan lebih kreatif dan inovatif agar dapat mengukir nama di persada antarabangsa


Pameran lukisan 6 dekad Latiff Mohidin dibuka

Pameran lukisan 6 dekad Latiff Mohidin dibuka
PLAYClick to Expand & Play
KUALA LUMPUR: Pameran lukisan pelukis besar negara sekaligus antara pelukis Asia yang dihormati dunia, Latiff Mohidin mula dibuka semalam.

Pameran yang ditunggu-tunggu ini menampilkan hasil karya Latiff selama enam dekad antara tahun 1951 hingga 2001.

Ini adalah pameran solonya yang pertama dalam masa lima tahun, Selain satu lagi pameran berasingan iaitu Siri Serangga yang dibuka sejak akhir November lepas.

Pameran ini mengambil ruang, empat daripada enam galeri di Balai Seni Visual Negara di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Ia mengangkat lebih 300 lukisan termasuk arca yang dihasilkan merentas jarak waktu beliau mula meneroka senirupa sehinggalah mencapai kematangan sebagai seniman.

Antaranya lukisan terkenal ini, Pago-Pago yang dihasilkan pada tahun 1964 dan merupakan koleksi tetap Balai Seni Visual Negara.

Pameran ini juga menampilkan beberapa siri lukisannya yang lain termasuk Mindscape, Gelombang dan Rimba.

Selain pameran retrospektif di Balai Seni Visual Negara ini, satu lagi pameran Latiff juga sedang berlangsung di Sasana Kijang, Bank Negara.

Pameran itu menampilkan 33 lukisan terbaru Latiff bermotifkan serangga yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai jelmaan daripada Siri Pago-Pago yang dikerjakannya hampir 50 tahun lalu.


Pameran 6 dekad karya pelukis tersohor negara


PLAYClick to Expand & Play
KUALA LUMPUR: Bagi meraikan enam dekad penglibatan Latiff Mohidin, Balai Seni Visual Negara menganjurkan satu pameran.

"60 Tahun Latiff Mohidin Retrospektif" mempamerkan 344 karya pelukis tersohor ini.

Kesemua karya merangkumi lukisan, catan, cetakan dan arca di 4 galeri utama Balai Seni Visual Negara.

Pameran ini dibahagikan kepada tiga tempoh masa yang menggambarkan tahap perkembangan artistik Latiff iaitu "period formatif", "period meditatif" dan "period gestural".

Selain itu, Balai Seni Visual Negara turut melancarkan penerbitan catalog yang mengumpulkan sorotan pengalaman seni serta latar belakang Latiff selain penterjemahan koleksi karya beliau.

Latiff bermula dengan pameran solo seawal usia 11 tahun.

Sebagai pelukis, penyair dan penulis sajak, lukisan, lenggok puisi serta gubahannya sentiasa diselitkan dengan unsur-unsur alam.

"Pameran 60 Tahun Latiff Mohidin Retrospektif" dirasmikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.

Pameran telah dibuka pada 26 Disember 2012 dan akan berlangsung sehingga 13 Jun depan.

No comments:

Post a Comment